Diusir dari masjid, OKU ini dikecam di media sosial..ini sebabnya

Kisah seorang lelaki cacat diarah untuk bersolat di luar Masjid Besar Sumatra Barat di Padang, Sumatera Barat, kerana kerusi rodanya dianggap tidak bersih mencetuskan kemarahan di media sosial.

Menurut The Jakarta Post, Abraham Ismed turut menulis pengalamannya berbalah dengan pegawai keselamatan masjid yang diluahkannya di Instagram menerusi akaun @boy1492.

Abraham menerima 582 ‘like’ dan 241 komen. Rata-rata netizen mengutuk sikap pegawai keselamatan yang dianggap mendiskriminasi, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

“Adakah saya perlu merangkak masuk ke dalam masjid untuk bersolat? Kerusi roda ibarat kaki untuk OKU seperti saya,” kata Abraham yang turut mengakui ia bukan kali pertama dia didiskriminasi kerana berkerusi roda.

Sementara itu, portal Coveasia memetik Abraham berkata, kejadian berlaku ketika dia mahu menunaikan Asar di dalam masjid sebelum dihampiri pegawai keselamatan, menyebabkan dia akhirnya solat di tempat wudhu.

Portal Liputan 6 memetik pekerja masjid Yulius Said menafikan Abraham dihalang solat di dalam masjid, sebaliknya berkata, pegawai keselamatan membantu Abraham masuk ke dalam masjid tanpa perlu berkerusi roda, tetapi ditolak.

“Memasuki masjid dengan berkerusi roda adalah sama seperti memakai kasut ketika bersolat. Kita tidak tahu sejauh mana kebersihan kerusi roda itu, ” katanya.

Timbalan Gabenor Sumatera Barat, Nasrul Abit turut dilaporkan kecewa dengan kejadian berkenaan.

“Setiap orang Islam termasuklah golongan cacat, dibenarkan memasuki masjid besar.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Gabenor Irwan Prayitno dan mengarahkan pegawainya untuk bercakap dengan pihak berkuasa masjid,” kata Nasrul.

sumber : Harian Metro

Kebanyakan masjid tidak menyediakan kemudahan kerusi roda untuk jemaah OKU

SETIAP kali ingin menunaikan solat di masjid, lelaki kelainan upaya itu terpaksa bersusah payah mencuci roda kerusi rodanya sebelum dibenarkan untuk memasuki dewan solat.

Adakalanya, dia tidak dibenarkan membawa masuk satu-satunya alat yang membolehkan dia bergerak dengan mudah ke dalam rumah Allah itu. Alasan yang diterimanya ialah roda kerusi rodanya itu tidak bersih dan boleh mengotorkan kawasan dalam masjid atau surau, khususnya yang menghamparkan permaidani di dewan solat utama.

Perkara tersebut kadangkala membuatkan semangatnya untuk berkunjung ke tempat ibadat bagi menunaikan rukun Islam kedua itu atau menghadiri majlis ilmu terbantut dek kerana perkara-perkara remeh yang terpaksa dilakukan sebelum memasuki masjid atau surau.

Niat kita datang ke masjid adalah untuk menunaikan solat secara berjemaah bersama kariah yang lain tapi disebabkan orang seperti saya yang berkerusi roda ini, kadangkala terlepas peluang untuk solat berjemaah kerana terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk membersihkan kerusi roda kami.

Kebanyakan masjid tidak menyediakan kerusi roda khas untuk orang kelainan upaya (OKU) dan jika ada pun, sudah tentu ia menyukarkan golongan seperti kami untuk bertukar-tukar kerusi roda, luah Nasarudin Mohamed, 59.

Dia agak bernasib baik kerana masih boleh bergerak menggunakan tongkat ke dewan solat dan berjemaah bersama orang lain di barisan hadapan berbanding rakan-rakannya yang tidak mampu berbuat demikian.
Sejak adanya Kasoot Wheelchair atau pelapik roda kerusi roda yang baru diperkenalkan di negara ini sekitar Januari lalu, dia boleh membawa masuk kerusi rodanya ke dalam masjid tanpa perlu mencuci rodanya terlebih dahulu mahupun menukar kerusi roda yang disediakan oleh pihak pengurusan masjid.

Kasoot Wheelchair sangat membantu dirinya untuk masuk ke dewan solat dengan mudah dan boleh berjemaah bersama orang lain tanpa perlu bersusah payah bergerak menggunakan tongkat, sebaliknya hanya perlu menyarungkan pelapik tersebut pada kedua-dua buah roda kerusi rodanya.

Saya menganggap diri saya beruntung berbanding dengan golongan OKU lain yang menggunakan kerusi roda kerana saya masih boleh berjalan menggunakan tongkat untuk bergerak dan berpeluang menunaikan solat berjemaah di dewan solat utama.

Sebaliknya, bagi mereka yang bergantung kepada kerusi roda 100 peratus terpaksa bersolat di luar atau kawasan yang tidak berkarpet.

Dengan adanya Kasoot Wheelchair ini, golongan OKU berkerusi roda boleh memasuki dewan solat utama dengan mudah tanpa membuang banyak masa untuk mencuci roda, sekali gus meningkatkan semangat kami untuk solat secara berjemaah di masjid, katanya ketika ditemui pada program I Love Clinic Solat #1.3 di Masjid Negara, Kuala Lumpur, April lalu.

Ia dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Kadir.

Bertitik tolak daripada siri pertama Program I Love Clinic Solat dua tahun lalu yang diadakan di sebuah masjid di ibu negara, Presiden Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia (Prihatin), Noorulhuda Mohamed Asli dapat melihat permasalahan yang dihadapi golongan OKU berkerusi roda semasa hendak memasuki masjid.

Prihatin dengan kesusahan golongan OKU berkerusi roda yang terpaksa bersusah payah mencuci roda kerusi roda mereka sebelum dibenarkan untuk memasuki ruang solat masjid, Noorulhuda bertekad mencari penyelesaian terhadap permasalahan tersebut.

Setelah membuat kajian dan penyelidikan, akhirnya Noorulhuda berjaya menemui sebuah syarikat pengeluar pelapik roda kerusi roda luar negara dari Vilnius, Lithuania dan membawa masuk produk keluaran Eropah itu ke negara ini.

Kasoot Wheelchair ini kami import dari Eropah dan konsep yang digunakan sama seperti memakai kasut di rumah. Ia dicipta untuk memastikan kotoran yang terdapat pada roda tidak melekat ke permukaan lantai lebih-lebih lagi permaidani. Kasoot Wheelchair mudah dipasang dan ditanggalkan tanpa perlu mencuci roda kerusi roda terlebih dahulu.

Material yang digunakan untuk membuat Kasoot Wheelchair ialah baldu. Selain memastikan keadaan permaidani masjid tidak kotor, ia juga mampu membersihkan habuk pada permukaan karpet dengan menarik kotoran tersebut ke palapik roda serta mengelakkan daripada meninggalkan bekas kerusi roda pada permaidani, ujarnya.

Sementara itu, Prihatin bersama sebuah syarikat swasta tempatan, Syaqur Empressa Enterprise (Syaqur Empressa) turut melancarkan Projek Wakaf Kasoot Wheelchair bagi mengumpul dana membeli lebih banyak barangan tersebut untuk diagihkan kepada masjid dan golongan OKU di seluruh negara.

Konsep yang diguna pakai dalam projek wakaf tersebut sama seperti wakaf al-Quran yang dibuat oleh beberapa pihak pada ketika ini dengan membeli beberapa lot atau bahagian Kasoot Wheelchair.

Projek tersebut dilaksanakan berikutan harga Kasoot Wheelchair tersebut agak mahal yang kebanyakan OKU tidak mampu untuk membeli barangan tersebut.

Harga sebenar Kasoot Wheelchair yang diimport dari luar negara adalah melebihi RM200 dan harga yang kami beri untuk projek ini hanya RM180, manakala baki selebihnya akan ditanggung oleh pihak Syaqur Empressa sebagai amal jariah mereka.

Setakat ini kita telah memberi Kasoot Wheelchair kepada 46 buah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pada masa akan datang merancang untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) OKU lain untuk diberikan kepada ahli yang berdaftar dengan mereka, tuturnya yang turut dikenali dengan nama Norule Asle.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, Kasoot Wheelchair tersebut sememangnya memudahkan urusan golongan OKU, khususnya yang berkerusi roda untuk menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di surau mahupun masjid.

Menurut beliau, ia merupakan salah satu alternatif bagi menggalakkan golongan OKU untuk lebih kerap ke masjid atau surau sama ada bagi menunaikan solat secara berjemaah mahupun melibatkan diri dalam majlis ilmu.

Ia adalah satu cara alternatif yang bagus bagi menarik lebih ramai golongan OKU khususnya yang berkerusi roda untuk bersolat di masjid atau surau selain daripada menyediakan kemudahan kepada mereka seperti tempat letak kereta khas dan laluan kerusi roda.

Secara tidak langsung dengan adanya Kasoot Wheelchair, ia dapat mengelakkan insan istimewa tersebut daripada rasa terasing dan terpinggir dalam kalangan masyarakat atau komuniti setempat kerana kekurangan yang terdapat pada diri mereka, katanya.

Mohd. Sukki turut menyarankan kepada pihak berkuasa masjid dan surau supaya meningkatkan kemudahan untuk golongan OKU, sekurang-kurangnya mewujudkan tanjakan kerusi roda dan tempat letak kereta serta motosikal khas untuk mereka.

Kemudahan untuk golongan OKU di kebanyakan masjid dan surau boleh dikatakan tidak lengkap atau tiada langsung berbanding di tempat-tempat lain seperti pusat beli-belah, hotel dan bangunan pejabat.

Ketiadaan atau kekurangan kemudahan golongan OKU ini sedikit sebanyak mempengaruhi psikologi mereka untuk datang ke masjid atau surau. Jika mereka diberikan kemudahan yang lengkap, sekurang-kurangnya mereka ada semangat untuk beribadah di rumah Allah, jelasnya yang juga dikenali sebagai Ustaz Dr. Shauqi Othman.

sumber : Kosmo Online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*