Hentikanlah sikap nak viral, report polis bila anak dirotan guru

Setiap kali apabila timbulnya kes ibubapa buat laporan polis mengenai anak mereka dipukul guru, pasti ada yang tampil mempertahankan tindakan ibu bapa dan tidak kurang juga yang menyebelahi guru.

Lebih teruk lagi, ada ibubapa yang menyebarkan pula kejadian itu di media sosial dan hasilnya ramai netizen yang mencemuh golongan pendidik.

Usah dinafikan bahawa ada segelintir murid atau pelajar sememangnya bermasalah dan ini menyebabkan guru tiada pilihan selain mengenakan denda. Pernah juga berlaku murid sanggup merekayasa cerita dengan menyalahkan guru semata-mata mahu melindungi dirinya yang menipu.

Jadi, berfikirlah seketika dan nilailah bahawa bukan semua perkara perlu kita viralkan di media sosial. Anak-anak usah terlalu dimanjakan, guru juga usah keterlaluan dalam mengambil tindakan. Sebarang permasalahan sebaiknya hubungi ibu bapa murid/pelajar untuk tindakan selanjutnya.

PENGALAMAN dan ilmu yang diberi oleh cikgu-cikgu adalah tidak ternilai. Dulu, Cikgu Azman, Cikgu Mail, antara yang garang di SK S*** T****** 1995-2000. Dicubit perut sampai terangkat, dia punya sakit tak tergambar dengan kata-kata. Haha!

Dipulas telinga, kuku panjang sikit, jari kena ketuk dengan pembaris. Boleh tahan juga sakitnya. Tetapi habis setakat itu sahaja, tiada yang nak berdendam atau nak benci cikgu sampai berdendam serta bajet mogok tak nak ke sekolah bagai.

Di SMK T***** S******* 2001-2006, lagi banyak dugaan bila kita dah mula melangkah ke sekolah menengah. Berbeza dengan sekolah rendah di mana peraturan, disiplin dan cara belajarnya lebih advance. Rotan Cikgu Nasir juga pernah dirasa. Berdiri di luar kelas sampai habis masa.

Tak macam zaman sekarang. Hari-hari keluar berita mengenai kes ibu bapa buat laporan polis dek kerana anak-anak dirotan, dicubit, didenda. Bahkah duduk di atas jalan tar semasa perhimpunan kes datang lewat pun diviralkan. Dulu semasa perhimpunan di sekolah saya, memang semua duduk di atas tar, steady saja.

Kita pergi ke sekolah untuk menimba ilmu. Kita pergi ke sekolah sepatutnya sudah bersedia untuk dibantu, diajar dan dididik oleh cikgu-cikgu. Ibubapa menghantar anak-anak ke sekolah bukan untuk diasuh seperti pusat jagaan kanak-kanak yang tidak boleh dirotan dan dimarah.

Kita dulu mungkin pernah kena rotan disebabkan kesalahan kita. Jadi kita tidak mahu anak-anak kita dirotan seperti kita dulu. Apa kita boleh buat? Anak-anak kita pun buat salah seperti mana kita dulu.

Hentikanlah sikap nak viral-viral, nak report-report bila anak-anak dirotan, didenda dan dimarahi cikgu. Cikgu-cikgu tak nak tengok anak-anak kita selalu melakukan kesilapan, cikgu-cikgu tak nak tengok anak-anak kita buat benda yang tak betul.

Kadang-kadang tidak dinafikan ada saja pelajar yang melawan cikgu, tak beradab dengan cikgu. Tetapi ibu bapa tak nampak dan cikgu-cikgu tak pernah nak viral-viralkan perkara itu di media sosial. Apatah lagi membuat laporan polis mengenai anak murid berperangai sedemikian rupa.

Sumber: Aidil Affendy

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*