“Saya ibarat seekor semut menentang dua gergasi” – Khairi Jamaluddin

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kesal kerana tidak berterus terang dengan bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tentang akar umbi yang menolak parti itu, selepas bekas timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal “dikeluarkan”.

“Tidak ada sesiapa, selepas Muhyiddin dikeluarkan, selepas Shafie dikeluarkan… Tiada siapa yang mahu mengakui ada masalah. Itu kesilapan besar di pihak kita.

“Adakah isyarat? Ya, ada isyarat yang jelas tetapi kita tidak sedar akan isyarat itu,” katanya yang dipetik oleh  Channel News Asia.

“Ini tidak harus berlaku lagi, kita tidak boleh membiarkan pemimpin Umno terpisah dengan realiti dan tidak menyoal soalan yang sukar. Jika kita meneruskan pemikiran feudal untuk melindungi pemimpin daripada kebenaran, Umno akan pupus,” katanya.

Kedua-dua Muhyiddin dan Shafie digugurkan dari barisan kabinet Najib selepas mereka lantang mengkritik secara terbuka skandal 1MDB.

Muhyiddin kemudian membuat kemunculan semula dengan menjadi Presiden BERSATU, yang menjadi komponen pakatan Pakatan Harapan, manakala Shafie pula menerajui Parti Warisan Sabah.

HARAPAN hari ini menjadi kerajaan persekutuan, dengan Muhyiddin memegang jawatan sebagai menteri dalam negeri, sementara Shafie adalah ketua menteri Sabah.

Kerajaan persekutuan baru, diterajui oleh pengerusi dan perdana menteri HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah membuka semula siasatan ke atas 1MDB, manakala Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dihalang daripada meninggalkan negara ini.

Beberapa pegawai kanan kerajaan lain di bawah pentadbiran sebelum ini juga telah dipindahkan atau diarahkan bercuti termasuk dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara esok, Khairy mengakui bahawa BN – sekarang pembangkang – mesti bersiap berdepan kedua-dua mereka.

“Kita perlu bersedia, kita menentang dua gergasi, dua nama besar di dunia politik. Kita perlu memastikan bahawa kita siap sedia.

“Rakyat Malaysia telah memilih dua gergasi untuk memimpin kita, cabaran kami adalah untuk memastikan kami dapat memainkan peranan sebagai pembangkang.

“Saya ibarat semut menentang dua gergasi itu, dan saya perlu memastikan saya dapat berfikir dengan pantas dan bergerak dengan cepat dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata Khairy.

Anwar akan dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat, yang menurutnya adalah bermotivasi politik.

sumber: Malaysiakini

Antara Barang Yang Dirampas Ketika Serbuan Ke Atas Kediaman Najib Razak

Tiada dokumen dirampas, sebaliknya hanya barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah diambil polis sebagai bukti dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Harpal Singh Grewal, mengesahkan perkara itu kepada pemberita sebaik keluar dari kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, 4.25 pagi tadi.

Menurut Harpal, polis melakukan penggeledahan untuk mendapatkan barang bukti bagi membantu siasatan.

Katanya, Najib dan ahli keluarga memberi kerjasama baik sepanjang hampir enam jam proses berkenaan.

“Bagaimanapun, polis tidak maklumkan berkaitan kes apa.

“Ia (penggeledahan) mengambil masa yang agak lama (hampir enam jam) kerana kediaman itu agak besar dan mereka (polis) memeriksa setiap bilik,” katanya.

Harpal turut mengesahkan sebuah lagi kediaman Najib di Kuala Lumpur turut diperiksa polis namun tidak memberitahu lokasi sebenarnya.

“Polis tidak rampas apa-apa dokumen, cuma ambil beberapa barangan peribadi antaranya pakaian, beg tangan dan barangan berbentuk hadiah.. dalam dua, tiga kotak.

“Hari ini memang tiada tangkapan dan boleh dikatakan mereka (polis) tidak temui apa-apa bukti,” katanya.

Harpal turut mengesahkan tiada sebarang arahan diterima daripada polis untuk Najib tampil memberi keterangan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan serbuan ke atas rumah bekas Perdana Menteri, malam tadi.

Beliau yang dihubungi NSTP, memaklumkan serbuan berkenaan dilakukan untuk tujuan penggeledahan dokumen.

Lebih 15 kenderaan dan sebuah trak polis masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri di Taman Duta di Kuala Lumpur itu, 10.15 malam tadi

Sumber:  hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*