“Kenapa Zahid bantu raja judi?” Zahid dicabar buktikan tidak bersekongkol dengan ‘Raja Judi’ – PKR

PKR menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan mengenai laporannya kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk membebaskan seorang raja judi.

Tuntutan itu timbul selepas akhbar South China Morning Post menyiarkan surat didakwa ditandatangani oleh Ahmad Zahid

Surat itu didakwa menyatakan bahawa tauke judi tersebut, Paul Phua membantu Malaysia dalam soal “keselamatan negara”

“Adakah surat yang disiarkan South China Morning Post asli dan benar?,” soal pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Phua menghadapi tuduhan di AS berhubung maklumat pertaruhan dan perniagaan perjudian haram.

Phua yang dikenakan perintah tahanan rumah di Las Vegas, tempat perbicaraan berlangsung, uga didakwa menganggotai kongsi gelap 14k Triad, satu entiti jenayah terancang Cina antarabangsa.

Bagaimanapun, satu surat ditandatangani Ahmad Zahid kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyatakan bahawa Phua bukan seorang anggota dan tidak mempunyai kaitan dengan 14k Triad.

“Tambahan pula, menurut rekod kami, Encik Phua banyak kali membantu erajaan Malaysia dalam projek yang menjejaskan keselamatan negara dan seterusnya, kami terus meminta beliau membantu kami dan masa ke semasa, maka kami ingin beliau kembali ke Malaysia,” surat itu dipetik.

Fahmi berkata beliau terkejut kerana Menteri Dalam Negeri sanggup mengaku bahawa Phua yang sebelum ini ditahan di Macau dan diusir kerana kegiatan perjudian membantu Malaysia dalam “projek” melibatkan keselamatan negara.

“Apa yang dimaksudkan oleh Zahid apabila beliau berkata ‘projek melibatkan keselamatan negara’? Kenapa (Phua) terlibat?,” soalnya.

sumber : Malaysiakini

Paul Phua Wei Seng, yang berdepan pertuduhan menjalankan perjudian haram di Las Vegas, tidak mempunyai kaitan dengan kongsi gelap terkenal 14K ketika ditahan di Malaysia 10 tahun lalu, menurut sumber polis.

Phua, 51, menghias dada akhbar apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menulis surat kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa ‘raja judi’ itu tiada kaitan dengan 14K.

Kumpulan 14K sebuah kongsi gelap antarabangsa yang terlibat dengan penjualan dadah, judi haram, penyeludupan manusia, pelacuran dan penggubahan wang haram.

Serbuan di Miri pada 2004, kata sumber polis, bertujuan membanteras perjudian haram yang beroperasi di sebuah kondominium selepas mendapat maklumat.

Bagaimanapun, polis sendiri terkejut apabila Phua didapati antara 22 orang yang ditahan di tempat itu.

Menurut sumber itu lagi, serbuan semasa perlawanan akhir Piala Euro 2004 itu menjadi yang terbesar pada masa itu.

Ketika itu, Phua sudah diketahui dengan perjudian atas talian tetapi polis sukar menahannya ekoran jaringan “perhubungan luasnya”.

Operasi itu sendiri dijalankan penuh rahsia, malah sesetengah pegawai polis atasan sendiri tidak tahu tentangnya.

“Hanya Phua dan pemilik kondo itu rakyat Malaysia, yang lain (pihak tertangkap) daripada Taiwan, Vietnam dan Hong Kong.

“Kami tak jangkakan Phua akan ada di situ. Kami buat persediaan banyak. Pasukan terlibat dipilih secara khas,” kata sumber polis.

Pihak yang enggan dinamakan itu juga berkata semasa soal siasat Phua berkata beliau datang untuk menyelia operasi itu.

sumber : Malaysiakini

KUALA LUMPUR 6 JAN: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicabar membuktikan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ahli judi profesional, Paul Phua Wei-Seng yang juga didakwa terlibat dengan aktiviti kongsi gelap antarabangsa.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran berkata, Zahid masih berdiam diri sedangkan pelbagai reaksi berhubung surat yang diutusnya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) bagi membela Phua.

Jelasnya, sebelum ini Zahid menyatakan bahawa beliau bertanggungjawab dalam isu keselamatan negara dalam membasmi jenayah perjudian, namun tiada maklum balas daripadanya untuk menepis dakwaan tersebut.

surendran“Zahid sampai sekarang belum menjawab pelbagai persoalan yang timbul. Kes ini amat serius kerana melibatkan keselamatan negara dan kenapa beliau masih lagi berdiam diri,” katanya.

Zahid sebelum ini dikatakan telah menulis surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F Guiliano menyatakan Phua bukan anggota kongsi gelap 14k Triad.

Perkara itu diterbitkan akhbar Hong Kong, South China Morning Post. Malah Menteri itu juga dilaporkan mendakwa Phua telah membantu Malaysia dalam perkara-perkara ‘keselamatan negara’ dan berharap Phua dapat pulang ke Malaysia.

Sejak 2008 lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti tiga orang rakyat Malaysia sebagai anggota kumpulan kongsi gelap 14K, sebuah entiti jenayah terancang rentas negara.

Zahid melalui suratnya itu menyatakan, mereka juga mendapati bahawa 14K beroperasi di Malaysia, dengan pelbagai aktiviti daripada perjudian haram, penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

Menurut Pendakwa Raya AS, mereka percaya Phua menjadi ahli kongsi gelap 14K, mengenakan tuduhan perjudian haram terhadapnya.

“Kita desak Zahid memberi penjelasan telus kepada rakyat kerana mereka berhak tahu kenapa surat itu perlu dihantar kepada FBI? Sekiranya tiada apa-apa yang disembunyikan, buktikan kepada rakyat bahawa beliau tidak bersengkongkol dengan Phua,” kata Surendran ketika dihubungi.

Pada 8 Oktober lepas, Zahid menyatakan komitmen kerajaan dalam memerangi perjudian haram apabila memutuskan operasi pembanteras perjudian kini bakal menjadi salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai oleh setiap ketua polis daerah.

Perkara itu diumumkan dalam sidang Parlimen yang lepas dan menurut Zahid, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sendiri yang akan memantau arahan tersebut bagi memastikan setiap KPI ditetapkan dicapai dengan jaya.

Surendran yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN berkata, Zahid tidak boleh melepaskan diri dalam hal ini kerana ia melibatkan urusan pentadbiran negara juga isu keselamatan.

“Pelbagai andaian boleh dibuat sekiranya Zahid masih membisu, pelbagai laporan juga telah dikeluarkan untuk mendakwa beliau dalam hal ini,” ujarnya

sumber : keadilandaily

Ini penjelasan Zahid Hamidi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*