Naib Ketua UMNO beri amaran kepada Amar Singh

“SAYA beri amaran kepada Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh supaya jangan sibuk menceritakan mengenai hasil siasatan seperti senarai barang dengan nilai rampasan juta-juta atau sebagainya yang berkaitan dengan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan digunakan media untuk menghukum Datuk Seri Najib Razak. “

Itu amaran Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii supaya Pengarah Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai siasatan atau isu 1MDB.

Katanya, mahkamah sudah mengeluarkan arahan supaya siasatan 1MDB tidak dibicarakan di luar mahkamah sebelum perbicaraan.

“Semua ini perkara negatif dan tidak ada kebenarannya lagi, cuma hanya untuk membuatkan rakyat beranggapan negatif sahaja kepada Najib,” katanya kepada media ketika pelancaran Tabung #FREENAJIB di hadapan kediaman bekas Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim.

Mohd Razlan berkata, hukuman sama ada Najib bersalah atau tidak hendaklah ditentukan kepada mahkamah.

“Biar mahkamah tentukan dahulu sama ada Najib bersalah atau tidak.

“Jadi, saya ingatkan kepada beliau (Amar Singh) dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak mengeluar kenyataan yang mewujudkan persepsi (bersalah) ini kepada Najib,” katanya.

Semalam, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan RM42 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*