Pengasuh Adam Rayqal Tidak Mengaku Bersalah. Ini hukuman yang bakal dihadapi…

PENGASUH Adam Rayqal Mohd Sufi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa, awal bulan ini.

Noor Aqilah Abd Rahman, 33, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

sebelum ini

“Dia goncang dan ketuk kepala Adam Rayqal kerana asyik menangis, tiba-tiba bayi itu terus senyap” pendedahan berani saksi tentang apa yang berlaku

KUALA LUMPUR: “Anak beritahu dia nampak pengasuh goncang badan dan ketuk kepala bayi itu kerana asyik menangis. Beberapa minit kemudian, bayi itu terus senyap”.

Demikian kata Zian Hafiz Ahamad Zawati, 36, bapa kepada kanak-kanak yang turut berada di bawah jagaan pengasuh yang menjaga bayi lelaki, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, mayat Adam Rayqal ditemui diletakkan di dalam beg kitar semula di bahagian sejuk beku di dalam peti sejuk rumah pengasuh berusia 33 tahun berkenaan di Jalan Nakhoda Kiri, Batu Caves, Selangor.

Zian berkata, kedua-dua anaknya, Ahmad Zayyan Putra, 5, dan Nur Imanina Arisa Putri, 3, dihantar ke rumah pengasuh terbabit sejak dua minggu lalu.

Katanya, ketika isterinya, Norita Abdul Wahab, 40, menjemput anak mereka pada jam 6.30 petang, pada hari kejadian, pengasuh itu tidak nampak gelisah atau bingung.

“Apabila saya pulang ke rumah kira-kira 10 malam pada hari kejadian, isteri memaklumkan dia terlihat status di Facebook mengenai kehilangan bayi berkenaan sebelum dikejutkan dengan berita kematiannya, pagi semalam.

“Sebaik bangun dari tidur kira-kira jam 9 pagi semalam, saya bertanya kepada anak sulung sekiranya dia ada melihat sesuatu yang berlaku ketika berada di rumah pengasuh itu.

“Zayyan memaklumkan dia melihat pengasuh berkenaan menggoncang badan dan mengetuk kepala bayi itu kerana dia (Adam) asyik menangis sejak pagi sebelum tiba-tiba senyap,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Zian berkata, isterinya mengenali pengasuh itu melalui Facebook dan bersetuju menggunakan khidmat wanita berkenaan dengan upah RM650 sebulan untuk menjaga kedua-dua anaknya.

“Sepanjang tempoh itu, anak-anak tidak pernah mengadu apa-apa mengenai pengadu. Malah, Zayyan memaklumkan wanita itu kerap memberi mereka makan nasi ayam sehingga saya perasan anak bertambah berat badan.

“Apabila perkara ini terjadi, saya amat terkejut dan takut pada masa sama kerana kejadian itu boleh terjadi kepada anak-anak saya,” katanya yang menetap di Bandar Baru Selayang, Gombak, Selangor.

Katanya, kejadian yang menimpa Adam Rayqal menimbulkan rasa bimbang untuk menghantar anak mereka kepada pengasuh.

“Zayyan pernah didera oleh pengasuh sebelum ini menyebabkan saya bimbang untuk menghantar anak-anak kepada pengasuh, namun tiada apa boleh dilakukan memandangkan saya dan isteri bekerja.

“Buat masa ini, saya dan isteri bergilir-gilir menjaga kedua-dua anak saya sementara menunggu mendapat pengganti pengasuh baharu,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah kelab golf.

sumber : BHarian

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*