“Satu ‘kepala’ komisen RM350” Akhirnya dalang disebalik kedatangan pendatang asing didedahkan. Inilah orangnya…

ALOR SETAR – Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) mendedahkan terdapat seorang individu bergelar Datuk Seri didakwa menjadi dalang kepada sindiket kemasukan pekerja asing khususnya dari Bangladesh ke Malaysia.

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, walaupun ada pihak menafikan kelulusan 1.5 juta pekerja Bangladesh telah dihentikan, tetapi setiap hari penerbangan dari Dhaka membawa ratusan pekerja dari Bangladesh yang diuruskan ejen-ejen dari negara itu dengan dibantu oleh ejen haram di negara ini.

“Sejak 15 tahun lalu Datuk Seri ini telah berkawan baik dengan ahli-ahli politik yang berkuasa. Apa yang beliau selalu katakan bahawa beliau mengambil wang untuk sistem kemasukan pekerja asing dari Bangladesh cuma RM350 setiap seorang.

“Padahal semua sedia maklum beliau mengambil RM15,000 setiap seorang pekerja asing dari Bangladesh. Sistem tersebut didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang diterajui beliau bersama seorang bekas menteri,” katanya.

Menurutnya, pihak ejen-ejen pekerja berdaftar Bangladesh telah menghantar memorandum kepada kedutaan negara itu yang menentang keras cara Datuk Seri berkenaan membawa masuk rakyat negara itu ke Malaysia.

“Dengan cara sedemikian ia menyebabkan buruh Bangladesh yang datang ke Malaysia terpaksa menanggung hutang yang banyak serta tertekan dengan kesusahan.

“Saya difahamkan, Datuk Seri ini telah meminta pemerintah dari negara itu untuk menulis surat sokongan kepada kerajaan Malaysia yang baharu supaya sistem yang digunakan syarikat tersebut dapat dilanjutkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus mengambil perhatian serius dalam perkara ini selaras dengan pendirian Pakatan Harapan untuk mengutamakan undang-undang bagi membasmi kesalahan pemimpin terdahulu.

“Jika ini berlarutan, maka tiada bezanya pemimpin yang terdahulu dengan baharu. Masih terdapat lagi orang dalam seperti pegawai bahagian tertentu yang masih membantu Datuk Seri berkenaan serta konco-konconya.

“Masih tiada tindakan yang diambil. Dalang semua ini adalah Datuk Seri tersebut. Saya harap pimpinan kerajaan yang baharu dapat membanteras habis-habisan sindiket ini.

“Saya mohon Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) supaya bertindak dengan cepat daripada mereka terus memberi rasuah kepada kakitangan kerajaan dan majikan-majikan yang tamak serta tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Lambakan pekerja asing di Malaysia

KUALA LUMPUR – Bertahun-tahun, isu kebanjiran pekerja asing serta pendatang asing tanpa izin di negara ini menjadi masalah yang tidak berkesudahan.Malaysia menjadi tumpuan rakyat daripada pelbagai negara, antaranya Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Filipina dan Myanmar sebagai lubuk mencari rezeki di pelbagai sektor.

Meskipun pelbagai usaha agresif dijalankan pihak berkuasa termasuk penghantaran pulang ke negara asal, bilangan mereka tidak juga berkurangan, malah bertambah tahun demi tahun.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem pada November tahun lepas mendedahkan, pekerja asing sama ada yang masuk secara sah atau haram dianggarkan berjumlah 6.7 juta orang. Daripada jumlah itu, hanya 2.1 juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, lambakan pekerja asing gagal dibendung ekoran permintaan tinggi tenaga kerja dalam pelbagai sektor selain sikap rakyat tempatan yang terlalu memilih pekerjaan.

LAMBAKAN SERIUS

Jika angka yang didedahkan itu benar, ini bermakna jumlah warga asing di Malaysia ketika ini mengatasi populasi penduduk kaum Cina. Menurut statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kaum etnik kedua terbesar di negara ini pada tahun ini diunjurkan berjumlah 6.64 juta orang.

Berdasarkan perangkaan jumlah pekerja asing yang bertambah itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong baru-baru ini berkata kerajaan perlu mengawal dan memantau jumlah dan pergerakan pekerja asing di Malaysia.

Jabatan Imigresen menyasarkan Malaysia bebas daripada pendatang asing tanpa izin menjelang tahun 2020. Persoalannya dengan jumlah kebanjiran pekerja asing yang sebegitu besar, mampukah negara mencapainya?

Adakah Malaysia memerlukan jumlah tenaga asing yang sebegitu ramai? Di beberapa tempat terutamanya di Lembah Klang, jumlah pekerja asing lebih ramai daripada penduduk setempat sehingga ada yang mewujudkan koloni masing-masing, menimbulkan keresahan rakyat.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, jumlah tersebut memperlihatkan tahap kebergantungan negara terhadap pekerja asing amat meruncing.

Beliau berkata, kebanjiran pendatang asing tidak seharusnya dipandang ringan kerana mereka mampu menguasai ekonomi negara sekiranya terus diberi peluang.

MULA KUASAI BIDANG PERNIAGAAN

Katanya kalau dahulu warga asing hanya bekerja di bidang separuh mahir seperti pembinaan, perladangan dan pembuatan, kini mereka sendiri mewujudkan koloni tersendiri di satu-satu lokasi, malah menjadi ‘tauke’ perniagaan.

“Ramai pekerja asing yang masuk sebagai buruh kasar tetapi kemudian mempunyai perniagaan sendiri dan ada yang memandu teksi… lihat sahaja kawasan Chow Kit dan Bukit Bintang, siapa yang menjadi ‘tauke’?

“Sekiranya masalah kebanjiran ini tidak dikawal, graf akan terus meningkat dan tidak mustahil suatu hari nanti mereka dapat menguasai bidang perniagaan sekali gus ekonomi negara, malah akan ada rakyat kita pula bekerja di bawah mereka,” katanya.

Shazali berkata, kalau dahulu pekerja asing dibayar dengan gaji rendah tetapi kini mereka turut menikmati gaji minimum RM900 yang ditetapkan kerajaan.

“Negara yang rugi apabila pengaliran wang ke luar negara bertambah banyak, malah berbilion ringgit… apa untung yang kita dapat?

“Memang benar pekerja asing mempunyai sumbangan dalam memacu pembangunan dan ekonomi negara, tetapi kebanjiran warga asing mempunyai risiko tinggi. Negara perlu kurangkan kebergantungan dengan orang luar. Jika tidak, sampai bila kita perlu bergantung dengan mereka?,” katanya.

Menurut laporan akhbar pada November 2013, Ketua Pegawai Eksekutif Western Union Malaysia, Chew Mei Ling dipetik sebagai berkata syarikat pengiriman wang bukan bank itu menyasarkan jumlah pengiriman wang oleh pekerja asing di negara ini ke negara asal melaluinya meningkat lima peratus pada 2014. Katanya pengiriman wang keluar oleh pekerja asing pada 2013 menunjukkan trend meningkat berbanding RM21.7 bilion yang direkodkan pada 2012.

TELITI SEMULA DASAR

Beliau berkata, kebanjiran warga asing juga menyebabkan rakyat terpaksa bersaing dan berkongsi subsidi serta kemudahan yang disediakan kerajaan termasuk kemudahan perubatan dan pengangkutan awam dengan mereka.

“Kerajaan menyediakan prasarana tetapi kebanyakannya dinikmati oleh mereka yang bukan warganegara… hospital, jalan raya dan pengangkutan awam sesak dengan warga asing,” katanya.

Katanya dasar pengambilan pekerja asing perlu diteliti semula dengan menekankan hanya sektor tertentu seperti pembinaan dan perladangan sahaja yang dibenarkan menggajikan buruh asing.

“Tidak perlulah tukang cuci, pengawal keselamatan, juruwang, pelayan restoran hinggakan di kedai-kedai runcit pun kita terlalu bergantung dengan orang luar, sedangkan pekerjaan ini boleh diisi oleh orang tempatan.

“Orang tempatan pun tidak perlu terlalu ‘manja’ dengan terlalu bergantung pada pekerja asing… seolah-olah jika tiada pembantu rumah, tukang cuci atau pelayan bangsa asing, tidak boleh hidup,” katanya.

GAJIKAN ORANG TEMPATAN

Pakar ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, tidak dinafikan banyak sektor seperti industri binaan, perladangan dan perkhidmatan berkemungkinan lumpuh sekiranya Malaysia tidak mempunyai tenaga buruh murah.

Natijahnya, kata beliau jumlah pekerja asing yang ada di Malaysia ketika ini, meskipun yang masuk secara sah, terlampau tinggi.

“Kita tidak perlu sebegitu ramai… bukan semua sektor kita perlukan mereka bekerja… perlunya ada undang-undang menghadkan bidang pekerjaan yang boleh diceburi mereka seperti bidang pertanian dan binaan.

“Masalahnya sektor korporat sibuk hendak menjimatkan kos, maka digajinya pekerja asing… kerana bagi orang tempatan, gaji minimum RM900 itu tidak mencukupi,” katanya.

Meskipun kos meningkat sekiranya menggajikan pekerja tempatan dengan kadar yang lebih tinggi, Amir Hussin berkata kesannya untuk jangka masa panjang, negara tidak perlu lagi bergantung dengan pekerja asing.

“Fikirkan gaji atau imbuhan yang bagaimana dapat menarik minat orang tempatan untuk bekerja dalam sesuatu sektor… mungkin dengan memberikan elaun khas kepada mereka misalnya.

“Orang tempatan juga tidak boleh ‘menjual’ lesen perniagaan yang diperoleh mereka kepada pendatang asing… kalau tidak mahu meniaga, beri peluang kepada orang tempatan, bukan beri kepada warga asing… orang seperti ini sepatutnya dikenakan tindakan tegas,” katanya.

KAWAL LAMBAKAN

Beliau berkata Malaysia juga seharusnya mencontohi negara-negara maju seperti Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan China, yang menggunakan teknologi mesin bagi menggantikan tenaga buruh asing.

“Bila negara itu hendak ‘cut cost’, mereka tidak menambah tenaga buruh asing, tetapi menggunakan teknologi… industri binaan di Korea, Jepun dan China menggunakan teknologi pasang siap yang mampu disiapkan dengan pantas tanpa perlu menggunakan tenaga buruh yang terlalu ramai,” katanya.

Amir Hussin berkata, Malaysia masih boleh mengawal kemasukan dan lambakan pendatang asing sedia ada dan pada masa sama melakukan kajian mendalam bagi mengesan punca yang menyumbang kepada masalah itu.

“Apakah punca kebanjiran itu? Adakah kelemahan penguatkuasaan maritim? Penguatkuasaan imigresen ataupun sebab kita betul-betul perlukan pekerja asing ini?,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu badan bebas atau jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengkaji dan menyelesai masalah buruh asing dengan lebih berkesan.

“Pendatang haram yang ditangkap dan dihantar balik ke negara mereka, esok-esok datang lagi, jadi sampai bila pun masalah ini tidak selesai, maka kita perlu ada mekanisme yang mampan dalam membetulkan keadaan ini.

“Kita sudah saksikan bila ada perbadanan khas dan diberi kuasa yang cukup, ia boleh bertindak, seperti mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang kita lihat
operasinya semakin berkesan,” katanya. – Bernama

sumber : Sinar Harian

Adik Zahid Hamidi perunding sistem urus pekerja Bangladesh

Sebuah syarikat yang dimiliki oleh adik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang berbincang dengan Dhaka dan Putrajaya untuk menyediakan satu sistem pengurusan bagi 1.5 juta pekerja Bangladesh, yang Malaysia berhasrat membawa masuk bekerja di negara ini.

Real Time Networking Sdn Bhd, di mana adik Zahid – Abdul Hakim Hamidi – adalah pengerusi eksekutifnya, mencadangkan penyediaan satu sistem dalam talian di mana, dengan bayaran, pekerja boleh didaftar dan dipantau dari Bangladesh dan Malaysia.

Zahid juga adalah menteri dalam negeri, dan kelulusan bagi pekerja asing ke Malaysia adalah di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sistem dalam talian Real Time – yang dikenali sebagai Workforce Management & Networking System (Workman) – adalah sama seperti yang disediakan oleh Bestinet, firma yang dimiliki oleh bekas menteri dalam negeri, Datuk Azmi Khalid.

Perjanjian Bestinet dengan kerajaan digantung pada awal tahun ini selepas bantahan agensi pekerjaan di negara penghantar, terhadap bayaran perkhidmatan yang tinggi.

Ketika dihubungi, Hakim mengesahkan perkara itu tetapi menekankan bahawa ia bukan satu kontrak kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah dengan kerjasama Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (Baira).

“Kami mempunyai model sistem di mana kita akan mendapat bayaran untuk satu pakej (perkhidmatan) dan kita boleh menghantar orang (dari Bangladesh) untuk 60,000 taka Bangladesh (RM3,000), termasuk tiket penerbangan.
“Ini bukan kontrak kerajaan. Ya, kerajaan mereka perlu meluluskannya kerana ia melibatkan rakyat tetapi mereka hanya memantau,” kata Hakim.

Jika diluluskan, agensi-agensi seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Manusia akan dihubungkan dengan sistem Real Time dan semua agen pekerjaan mesti melalui Real Time untuk menghantar pekerja ke Malaysia.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku nepotisme, dengan alasan bahawa beliau berpengalaman dalam bidang tersebut.

“Abang saya seorang menteri tetapi saya seorang ahli perniagaan. Ini sebuah negara demokratik dan saya boleh buat apa-apa pun, selain daripada menjadi pengedar dadah,” katanya kepada Malaysiakini .

“Di Malaysia ni susah sangat. Mereka kata jika abang saya seorang menteri, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka mahu kami semua jadi penganggur,” kata beliau yang kini berada di Dhaka.
sumber : Malaysiakini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*