“Saleem Iklim tenat di ICU, doakan beliau”

“MEMANG betul Abang Saleem kemalangan semalam dan kini dirawat di Hospital Kajang. Dia parah sehingga patah 12 tulang rusuk dan satu tulang tertusuk paru-paru, namun keadaannya stabil”.

Demikian kenyataan isteri penyanyi Saleem, Juriah@ Julia Bachok mengulas mengenai foto tular menunjukkan keadaan suaminya yang terbaring menerima rawatan.

Terdahulu, gambar itu mencetuskan pertanyaan kerana tiada sebarang kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh ahli keluarga penyanyi kumpulan Iklim ini.

Juriah berkata, kemalangan berlaku pada petang ketika suaminya keluar rumah untuk membeli barang di kedai.

“Saya dihubungi oleh pihak polis pada 3.45 petang bagi memberitahu perkara ini.

“Abang naik motosikal untuk ke kedai berdekatan kediaman kami di Bandar Mahkota Cheras bagi membeli barang.

“Kami sebenarnya baru pulang daripada Kuantan kerana urusan perbincangan mengadakan konsert di sana. Malah kami sempat juga menjayakan satu ‘show terpijak’ di sana sebelum pulang ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Harian Metro.

Juriah berkata, sebaik sampai di Kuala Lumpur pada sebelah paginya, dia mendapat panggilan daripada penganjur yang mahukan Saleem mengadakan persembahan makan malam di Shah Alam.

“Saya keluar untuk membelikan pakaian baru untuk Abang, manakala dia berehat di rumah.

“Tak sangka tiba-tiba kejadian ini menimpanya. Diharapkan semua peminat mendoakan agar keadaan Abang kembali pulih seperti sediakala,” katanya.

Mengenai gambar yang tersiar, Juriah memberitahu bukan daripada pihaknya dan hairan bagaimana boleh tersebar di laman sosial.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*