[Video] Polis Rampas 72 Beg Wang Tunai, Barangan Kemas, 284 Kotak Beg Pelbagai Jenama Dari Kondominium Mewah Yang Dikaitkan Dengan Najib Razak

Polis lewat malam ini mengumumkan telah merampas 72 beg berisi barangan kemas dan wang tunai pelbagai mata wang dari kondominium mewah yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh, turut dirampas ialah sebanyak 284 kotak mengandungi beg tangan mewah pelbagai jenama.

Terdahulu, Orang ramai dan media dilihat berkumpul di luar kondominium mewah Pavillion Residences berikutan serbuan di kediaman yang terletak di Jalan Raja Chulan itu.

Sehingga jam 1.25 pagi, polis dilihat telah membawa sekurang-kurangnya lima trak ke kondominium mewah berkenaan.

Sumber: KiniTV

 

Antara Barang Yang Dirampas Ketika Serbuan Ke Atas Kediaman Najib Razak

Tiada dokumen dirampas, sebaliknya hanya barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah diambil polis sebagai bukti dari kediaman Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam bekas Perdana Menteri, Datuk Harpal Singh Grewal, mengesahkan perkara itu kepada pemberita sebaik keluar dari kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, 4.25 pagi tadi.

Menurut Harpal, polis melakukan penggeledahan untuk mendapatkan barang bukti bagi membantu siasatan.

Katanya, Najib dan ahli keluarga memberi kerjasama baik sepanjang hampir enam jam proses berkenaan.

“Bagaimanapun, polis tidak maklumkan berkaitan kes apa.

“Ia (penggeledahan) mengambil masa yang agak lama (hampir enam jam) kerana kediaman itu agak besar dan mereka (polis) memeriksa setiap bilik,” katanya.

Harpal turut mengesahkan sebuah lagi kediaman Najib di Kuala Lumpur turut diperiksa polis namun tidak memberitahu lokasi sebenarnya.

“Polis tidak rampas apa-apa dokumen, cuma ambil beberapa barangan peribadi antaranya pakaian, beg tangan dan barangan berbentuk hadiah.. dalam dua, tiga kotak.

“Hari ini memang tiada tangkapan dan boleh dikatakan mereka (polis) tidak temui apa-apa bukti,” katanya.

Harpal turut mengesahkan tiada sebarang arahan diterima daripada polis untuk Najib tampil memberi keterangan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mengesahkan serbuan ke atas rumah bekas Perdana Menteri, malam tadi.

Beliau yang dihubungi NSTP, memaklumkan serbuan berkenaan dilakukan untuk tujuan penggeledahan dokumen.

Lebih 15 kenderaan dan sebuah trak polis masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri di Taman Duta di Kuala Lumpur itu, 10.15 malam tadi

Sumber: hmetro

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*