Wow! RM1,000 000 000.00 anggaran nilai rampasan di kediaman Najib razak – Dedahan Amar Singh

KUALA LUMPUR: : Antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Itu anggaran nilai keseluruhan barang-barang yang dirampas dari beberapa premis berkaitan Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada 16 dan 17 Mei lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan, daripada 72 beg besar yang dirampas seperti dilaporkan sebelum ini, 35 beg daripadanya mengandungi wang tunai daripada 26 jenis mata wang berjumlah RM116.7 juta.

Dalam satu sidang media khas di ibu negara hari ini, beliau berkata lagi 25 beg berisi 12,000 jenis barang kemas yang terdiri daripada 1,400 rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 2,800 pasang subang, 1,600 kerongsang dan 14 tiara.

Jelasnya lagi, rantai emas bertatahkan berlian bernilai RM6.4 juta adalah barang kemas paling berharga yang dirampas.

Video penuh dibawah 

“Pengiraan semua barang kemas mengambil masa 16 hari. Bagi semua barang kemas yang dirampas, pakar hanya boleh membuat anggaran nilai mengikut harga bahan, tidak termasuk kos upah tukang dan pembuatan. Jadi, nilai keseluruhan barangan kemas tersebut adalah RM440 juta.

“Kalau mengikut harga pasaran, nilainya mungkin meningkat antara 50 hingga 100 peratus, menjadikan nilai sebenarnya boleh mencecah antara RM660 juta ke RM880 juta,” katanya.

Bagi beg tangan pula, Amar Singh berkata sebanyak 567 beg tangan yang dirampas bernilai RM51.3 juta. Pihak polis dan pakar mengambil masa lapan hari untuk mengira dan menilai beg-beg tersebut, yang terdiri daripada 37 jenama termasuk Hermès, Prada, Chanel dan Bijan.

“Ada beg tangan yang berharga RM1.6 juta. Ada juga beg tangan yang ditempah khas iaitu daripada jenama Bijan,” kata Amar Singh.

Dalam pada itu, turut dirampas 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta melibatkan lebih 100 jenama termasuk Rolex dan Chopard.

Sebanyak 234 cermin mata hitam (sunglasses) bernilai RM375,000 daripada 34 jenama termasuk Versace, Gucci, Dior dan Cartier, juga turut dirampas, kata Amar Singh.

BERITA LANJUT MENYUSUL

 

1MDB: Rosmah juga sedang disiasat – Amar Singh

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman sedang menyiasat sama ada isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara individu utama dalam siasatan terhadap rampasan barangan melibatkan kes 1Malaysia Development Berhad.

Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, semua perkara diambil kira termasuk siasatan berkenaan.

“Kita sedang menyiasat perkara itu. Kita akan merakam percakapan (dengan Rosmah) sedikit masa lagi,” katanya dalam sidang media khas mengenai pendedahan rampasan barangan melibatkan kes 1MDB di Menara KPJ di sini, hari ini.

Buat masa ini, pihaknya sedang berusaha untuk mengenal pasti pemilik barangan rampasan berkenaan.

“Ada laporan atau dakwaan mengatakan barangan itu adalah hadiah daripada individu. Kita perlu mengetahuinya sama ada benar ia dihadiahkan dan siapa yang menghadiahkan,” jelasnya.

Justeru katanya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya akan dipanggil tidak lama lagi.

Tambahnya, setakat ini, lebih 30 individu telah diambil keterangan berhubung kes 1MDB.

 

Sumber: Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*